Kita faham bahawa sebagai seorang yang baru kembali berjinak didalam
bidang keagamaan, semacam ada suatu semangat untuk beliau berkongsi apa
yang telah beliau pelajari, lebih-lebih lagi pandangan tersebut bersifat
baru. Cadangan juga harus ditujukan kepada pihak stesyen TV agar
meneliti dan menapis dulu bahan-bahan yang akan di kongsikan didalam
slot tersebut, lebih-lebih lagi mereka memang tahu bahawa artis tersebut
bukanlah ahli untuk untuk berbicara mengenai persoalan tersebut.
Sebagai seorang yang baru didalam bidang ini, tentu sahaja beliau
seronok berkongsi ilmu dengan pada hadirin.
Cetusan dari video tersebut (rakaman yang tersiar didalam youtube),
kelihatan ramai pula dari kalangan yang mirip kepada satu manhaj
tertentu memetik pendapat Mazhab Syafie yang menyatakan ‘tidak sampai’
perbuatan membaca al-Quran kepada si-mati. Dalam kebanyakkan fiqh mereka
mirip kepada Mazhab Hanbali, dan tiba-tiba didalam hal ini, mereka
bersetuju malah memerli rakyat Malaysia yang bermazhab Syafie kerana
tidak ikut Mazhab Syafie dalam bab ini. Bila disoroti fatwa-fatwa yang
dikeluarkan oleh Lajnah Daaemah Arab Saudi, maka kita faham mengapa
kumpulan ini menyokong pendapat Imam Syafie, kerana itulah yang
dikatakan pilihan terbaik menurut Jawatankuasa tersebut. Malah didalam
fatwa yang dikeluarkan oleh bekas Mufti Saudi, beliau akui bahawa
persoalan ini khilaf; selisih pendapat, namun pendapat yang mengatakan
tidak sampai bacaan tersebut adalah lebih kuat. Apakah pandangan ini
juga mewakili pandangan jumhur ulama Syafie?
Benarkah Mazhab Syafie berbeza pendapat dengan Mazhab lain mengenai
sampainya bacaan al-Quran kepada si-mati? Apakah sepakat semua ulama’
Mazhab Syafie mengatakan tidak sampai amalan bacaan al-Quran tersebut?
Katakanlah semua ulama’ Syafie baik dari zaman dahulu sehinggalah
terkini sepakat mengatakan tidak sampai bacaan al-Quran, apakah salah
rakyat Malaysia memilih untuk bertaqlid kepada Mazhab Hanbali dalam isu
ini? Misalnya kaedah membayar zakat fitrah tanpa menggunakan makanan
ruji (eg:beras) sesebuah negara, yang telah digantikan wang, tidak
timbul pun isu rakyat Malaysia tidak mengikut Mazhab Syafie walaupun itu
pandangan Ibn Taimiyyah rh. Banyak lagi perkara yang kita menggunakan
mazhab-mazhab lain, akan tetapi pada prinsipnya kita masih bermazhab
Syafie.
Tiada khilaf didalam do’a
Jumhur ulama’ Mazhab berpendapat bahawa do’a dapat memberi munafaat
kepada si-Mati. Menurut Imam Nawawi rh [al-Azkar ms 150) ijma’ ulama’
berpendapat bahawa do’a keatas si-mati dapat memberi munafaat dan
sampai pahala kepadannya. Didalam firman Allah swt :-
وَالَّذِينَجَاءُوامِنْبَعْدِهِمْيَقُولُونَرَبَّنَااغْفِرْلَنَاوَلِإِخْوَانِنَاالَّذِينَسَبَقُونَابِالْإِيمَانِوَلَاتَجْعَلْفِيقُلُوبِنَاغِلًّالِلَّذِينَآمَنُوارَبَّنَاإِنَّكَرَءُوفٌرَحِيمٌ
“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa
dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa
saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah
Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap
orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat
Melimpah” [Surah al-Hasyr :10]
Didalam surah Ibrahim ayat 41, Allah berfirman :
رَبَّنَااغْفِرْلِيوَلِوَالِدَيَّوَلِلْمُؤْمِنِينَيَوْمَيَقُومُالْحِسَابُ
“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta
bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan
pembalasan.”
Doa
khusus bagi simati dan seluruh kaum muslimin sebagaimana yang
diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya Rasulullah SAW berdoa
ketika solat jenazah iaitu ;
اللَّهُمَّاغْفِرْلِحَيِّنَاوَمَيِّتِنَاوَصَغِيرِنَاوَكَبِيرِنَاوَذَكَرِنَاوَأُنْثَانَاوَشَاهِدِنَاوَغَائِبِنَااللَّهُمَّمَنْأَحْيَيْتَهُمِنَّافَأَحْيِهِعَلَىالإِيمَانِوَمَنْتَوَفَّيْتَهُمِنَّافَتَوَفَّهُعَلَىالإِسْلاَمِاللَّهُمَّلاَتَحْرِمْنَاأَجْرَهُوَلاَتُضِلَّنَابَعْدَهُ
“Ya Allah ampun dosa kami sama ada yang masih hidup ataupun yang telah
mati, kecil dan besar, lelaki dan wanita, yang hadir dan yang tidak
hadir. Ya Allah orang yang telah hidupkan di antara kami, hidupkanlah
dia dalam agama Islam. Dan orang-orang yang telah engkau matikan di
antara kami, maka matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah kami
terhalang drp pahalanya dan janganlah kami disesat selepas
peninggalannya. “[Hadith riwayat Abu Daud]
Mazhab Syafie dan bacaan al-Quran kepada si-mati
Menurut
Imam al-Nawawi bahawa pendapat masyhur dari kalangan Ulama’ Syafie
mengatakan bahawa membaca al-Quran tidak sampai pahalanya kepada mayat.
Tambah beliau : dan berkata satu jemaah dari kumpulan kami : sampai
pahalanya kepada mayat dan dengannya berkata Imam Ahmad [Sharah Muslim
7/90]. Didalam Kitab Majmu’ Sharh Muhazzab, Imam Nawawi ada menyebut
“telah berpendapat Imam Ahmad bn Hanbal bersama satu jemaah dari
kalangan ulama’ dan satu jemaah dari Mazhab Syafie bahawa pahala membaca
al-Quran sampai kepada si-mati.
Kenyataan
Imam Nawawi ini jelas menunjukkan bahawa pendapat yang mengatakan tidak
sampai pahala bacaan al-Quran kepada si-mati juga khilaf (berselisih)
dikalangan beberapa ulama’ mazhab Syafie, dan ia bukan mutlak. Bahkan
Shiekh Abu Bakar al-Dimyati didalam kitabnya I’aanaa al-Tholibin (3/221)
menyebut “pendapat yang mengatakan ‘tiada sampai pahala’ itu dhaif
(lemah) dan telah sampai satu jemaah dari Mazhab kami yang mengatakan
‘sampai pahalanya’ adalah muktamad.
Boleh disimpulkan bahawa terdapat 2 pendapat dari kalangan Mazhab Syafie berkenaan dengan persoalan ini, iaitu :-
(1) Mazhab Syafie yang terdahulu (Mutaqaddimin) mengatakan ibadat
mahdah (seperti solat, puasa, bacaan al-Quran) tidak sampai pahalanya
kepada orang lain selain dari yang membacanya. Pandangan ini mashyur
dikalangan ulama' Mazhab Syafie kata Syiekh al-Islam Zakaria al-Anshari
al-Syafie.
(2) Mazhab Syafie yang terkemudian (Mutaakhirin) berpendapat bahawa
sampai pahala bacaan al-Quran kepada orang yang mati, seperti bacaan
al-Fatihah. Ini juga merupakan pendapat ulama' Hanafi dan Hanbali.
Bekas
Sheikh al-Azhar, Sheikh Jadul Haq didalam fatwanya berkata “pandangan
Mazhab Syafie yang masyhur, dan Mazhab Maliki yang asal, tidak sampai
ibadat badaniyah, seperti membaca al-Quran. Akan tetapi, pandangan
mutakhir dikalangan Mazhab Syafie dan Maliki yang dipilih adalah :
sampai pahala kepada mayat dengan syarat-syaratnya”. (Buhuth wa fatawa,
2/38)
Keluar dari khilaf
Jika
dianalisa penilaian ulama’ didalam hal ini, pendapat semua mazhab sama,
iaitu sampai bacaan al-Quran kepada si-mati, akan tetapi cara mereka
sahaja yang berbeza. Al-Khathaab memberi komentar dari aspek penggunaan
lafaz menyampaikan pahala, katanya : adalah tidak boleh menyebut
“menjadikan untuknya”, “mengkhususkan untuknya”, akan tetapi hendaklah
“berdo’a agar dijadikan pahala untuknya”. Sebahagian dari ulama’ Syafie
berpendapat bahawa bacaan al-Quran itu sendiri tidak memberi kesan
kepada si-mati, akan tetapi hendaklah disertakan dengan do’a, misalnya :
اللَّهُمَّاجْعَلْمِثْلَثَوَابِمَاقَرَأْتُلِفُلان
“Ya Allah! Jadikanlah pahala apa yang telah aku baca kepada sifulan”
Menurut
Ibn Rusd, kaedah ini telah mengeluarkan khilaf “sampainya bacaan
al-Quran” kepada kaedah “berdo’a”, dimana sepakat ulama’ bersetuju
bahawa do’a akan memberi kesan kepada si-mati. Dengan kata lain,
seseorang akan berdo’a seusai membaca al-Quran dengan do’a : “kalau ada
pahala dari bacaan al-Quran tadi, aku ingin menghadiahkan pahala kepada
si-fulan”, maka punca sampai pahala bacaan tersebut adalah melalui do’a.
Dr
Ahmad Syarbashyi mengatakan bahawa seseorang yang melakukan bacaan
al-Quran dengan sukarela dan menghadiahkan bacaan tersebut kepada
si-mati tidak akan mendapat ganjaran apa-apa dari bacaan tersebut
[Yasalunaka fidiin, 4/97]. Sebab itu tidak boleh mengupah orang membaca
al-Quran kepada si-mati oleh kerana si-pembaca tersebut sudah mendapat
“ganjarannya” dalam bentuk wang ringgit.
Dr
Ahmad Syarbashyi menyimpulkan bahawa : “Telah menetapkan oleh para
Fuqaha bahawasanya pahala bacaan Al-Quran sampai kepada si-mati bahkan
sampai ia kepada yang hidup sebagaimana yang telah disebut pada kitab
ulama’-ulama’ besar mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali. Yang demikian itu
apabila memintalah oleh yang membacanya akan yang demikian itu daripada
Allah Tabaraka Wata’ala. Dan ini adalah kerana bacaan yang dihadiahkan
itu adalah daripada kaedah doa. Maka berniatlah pembaca dan berkata “Ya
Allah! Jadikanlah pahala apa yang telah aku baca kepada sifulan.”
[Yasalunaka fidiin 6/275]
Dengan
demikian, dapatlah kita simpulkan bahawa dalam Mazhab Syafie, untuk
pahala bacaan al-Quran tersebut sampai kepada si-mati, hendaklah dia
sertakan dengan do’a agar ganjaran tersebut disampaikan. Cara ini lebih
selamat sebagaimana kaedah “keluar dari khilaf itu adalah mustahab
(digalakkan)”, dimana do’a merupakan amalan sepakat ulama’ mazhab
mengatakan memberi kesan kepada simati. Oleh itu, pendapat yang
mengatakan tidak sampai bacaan menurut sepakat Mazhab Syafie adalah
kurang tepat, kerana wujud jalan penyelesaian sebagaimana kata Ibn Rusd
“keluar dari khilaf bacaan kepada sampainya amalan berdo’a kepada
si-mati”. WA.
http://www.al-ahkam.net/home/pahala-bacaan-quran-kepada-simati-syafie
Tidak ada komentar:
Posting Komentar